Budaya Bangau oh Bangau

Masihkah sahabat-sahabat ingat lagu bangau oh bangau? Lagu yang agak popular sewaktu zaman kanak-kanak. Pada masa tu, kita hanya sekadar menyanyi tanpa memahaminya. Kemudian bila kita berada di tadika atau sekolah rendah, kita memahami bahawa lagu ini menunjukkan mengenai rantaian makanan. Lagu yang diturunkan dari satu generasi hingga ke satu generasi yang lain, tanpa kita kenal siapa penciptanya.

Budaya Melayu amat halus dan mementingkan budi bahasa,  walaupun menegur kesalahan orang lain. Orang Melayu dahulu lebih suka berkias jika tidak menyetujui sesuatu perbuatan atau dalam memberi tunjuk ajar. Contohnya, pantang larang orang melayu. Jangan makan berubah-ubah tempat, kerana nanti akan kahwin banyak kali atau jangan duduk di atas bantal, nanti tumbuh bisul. Mungkin jika makan banyak tempat dikuatiri makanan akan tumpah atau bersepah dan agak tidak manis sekiranya duduk di atas bantal yang akan kita gunakan untuk tidur. Itulah adab orang Melayu. Setiapnya ada maksud yang tersurat dan tersirat dalam mendidik masyarakat.

Cuba sahabat-sahabat melihat bait demi bait lagu bangau oh bangau yang pernah menjadi siulan di waktu kecil kita. Apakah yang sahabat dapat simpulkan?



Bangau oh bangau
Mengapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus
Ikan tak mahu timbul

Ikan oh ikan
Kenapa tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul
Rumput panjang sangat

Rumput oh rumput
Kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku

Kerbau oh kerbau
Kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan
Perut aku sakit

Perut oh perut
Mengapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit
Makan nasi mentah

Nasi oh nasi
Mengapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah
kayu api basah

Kayu oh kayu
Mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah hujan timpa aku

Hujan oh hujan
Kenapa kau timpa kayu?
Macam mana tak timpa kayu
Katak panggil aku

Katak oh katak
Mengapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
Ular nak makan aku

Ular oh ular
Kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan memang makanan aku.
memang makanan aku





Pertamanya memang benar mengajar kita mengenai rantaian makan, mengenai hukum alam iaitu sunnatullah. Tetapi, terdapat dua sisi olahan berbeza yang boleh dibuat berdasarkan perspektif negatif dan positif lagu ini. Bait-bait lagu ini memberi input supaya kita mencari punca kepada sesuatu permasalahan.  Sekiranya kita gagal melakukan sesuatu, contohnya dalam pelajaran, kita harus mencari punca kita gagal. Samada cara belajar tidak betul, tiada keberkatan dalam menuntut ilmu, tiada adab dalam menuntut ilmu atau pengurusan masa yang tidak tepat. Mencari punca segala pemasalahan adalah tindakan yang tepat. 

Manakala sisi negatifnya pula ialah budaya salah menyalahkan antara satu sama lain.  Kebanyakkan kita lebih gemar mencari “SIAPA” yang salah tetapi bukan mencari “APA” yang salah. Seharusnya kita mencari “APA” yang salah, bukan “SIAPA”. Dalam lagu ini semuanya menyalahkan orang lain kecuali Sang ular. Andai kata sang ular juga menyalahkan yang lain, entah sampai bila akan sampai pengakhiran sebuah penceritaan. 





0 comments: