Budaya Bangau oh Bangau
Posted by Masnita Abdul Ghani Jul 17, 2010 at 6:18:00 AM
Masihkah sahabat-sahabat ingat lagu bangau oh bangau? Lagu yang agak popular sewaktu zaman kanak-kanak. Pada masa tu, kita hanya sekadar menyanyi tanpa memahaminya. Kemudian bila kita berada di tadika atau sekolah rendah, kita memahami bahawa lagu ini menunjukkan mengenai rantaian makanan. Lagu yang diturunkan dari satu generasi hingga ke satu generasi yang lain, tanpa kita kenal siapa penciptanya.
Budaya Melayu amat halus dan mementingkan budi bahasa, walaupun menegur kesalahan orang lain. Orang Melayu dahulu lebih suka berkias jika tidak menyetujui sesuatu perbuatan atau dalam memberi tunjuk ajar. Contohnya, pantang larang orang melayu. Jangan makan berubah-ubah tempat, kerana nanti akan kahwin banyak kali atau jangan duduk di atas bantal, nanti tumbuh bisul. Mungkin jika makan banyak tempat dikuatiri makanan akan tumpah atau bersepah dan agak tidak manis sekiranya duduk di atas bantal yang akan kita gunakan untuk tidur. Itulah adab orang Melayu. Setiapnya ada maksud yang tersurat dan tersirat dalam mendidik masyarakat.
Cuba sahabat-sahabat melihat bait demi bait lagu bangau oh bangau yang pernah menjadi siulan di waktu kecil kita. Apakah yang sahabat dapat simpulkan?
Bangau oh bangau
Mengapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus
Ikan tak mahu timbul
Ikan oh ikan
Kenapa tak mahu timbul?
Macam mana aku nak timbul
Rumput panjang sangat
Rumput oh rumput
Kenapa panjang sangat?
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau
Kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan
Perut aku sakit
Perut oh perut
Mengapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit
Makan nasi mentah
Nasi oh nasi
Mengapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah
kayu api basah
Kayu oh kayu
Mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah hujan timpa aku
Hujan oh hujan
Kenapa kau timpa kayu?
Macam mana tak timpa kayu
Katak panggil aku
Katak oh katak
Mengapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
Ular nak makan aku
Ular oh ular
Kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan memang makanan aku.
memang makanan aku
Pertamanya memang benar mengajar kita mengenai rantaian makan, mengenai hukum alam iaitu sunnatullah. Tetapi, terdapat dua sisi olahan berbeza yang boleh dibuat berdasarkan perspektif negatif dan positif lagu ini. Bait-bait lagu ini memberi input supaya kita mencari punca kepada sesuatu permasalahan. Sekiranya kita gagal melakukan sesuatu, contohnya dalam pelajaran, kita harus mencari punca kita gagal. Samada cara belajar tidak betul, tiada keberkatan dalam menuntut ilmu, tiada adab dalam menuntut ilmu atau pengurusan masa yang tidak tepat. Mencari punca segala pemasalahan adalah tindakan yang tepat.
Manakala sisi negatifnya pula ialah budaya salah menyalahkan antara satu sama lain. Kebanyakkan kita lebih gemar mencari “SIAPA” yang salah tetapi bukan mencari “APA” yang salah. Seharusnya kita mencari “APA” yang salah, bukan “SIAPA”. Dalam lagu ini semuanya menyalahkan orang lain kecuali Sang ular. Andai kata sang ular juga menyalahkan yang lain, entah sampai bila akan sampai pengakhiran sebuah penceritaan.
0 comments Labels: umum
Belajar Sambil Mencabar
Posted by Masnita Abdul Ghani Jul 13, 2010 at 5:33:00 PM
"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
- Profesor Diraja Ungku A. Aziz -
Adakah kehidupan seorang mahasiswa hanya sekadar berada di gelanggang dewan kuliah dan bilik tutorial tanpa perlu cakna pada permasalahan ummah dan masyarakat. Manusia tidak akan mengetahui potensi diri sekiranya tidak menerima tekanan. Oleh itu, belajar sambil mencabar merupakan sesuatu yang bisa merubah pemikiran dan pandangan mengenai sesuatu isu dalam skop yang lebih global dan matang. Manusia boleh diibaratkan seperti arang batu yang akan berubah menjadi berlian selepas menerima tekanan demi tekanan. Kemudian, dicanai serta digilap dan hasilnya, berlian yang indah. Begitu juga kita sebagai manusia. Jika kita hanya terus berada di zon selesa tanpa mencabar diri melakukan sesuatu yang luar biasa dari kehidupan seorang pelajar, maka bagaimana kita hendak mengenali potensi diri dan memperkasa mentaliti. Namun luar biasa bukan bermaksud sampai melanggar undang-undang tetapi luar biasa dari kehidupan mahasiswa yang hanya pergi berkuliah dan hujung minggunya keluar berjalan-jalan yang hanya berkisar pada kepentingan dan kepuasan diri.
Penulis teringat suatu analogi yang diberikan oleh Prof Sidek Baba semasa program di Shah Alam tentang seorang pendakwah, mereka adalah seperti air dan asap, ia mengalir dan meresap. Seorang pendakwah harus bergerak aktif seperti air sungai yang tetap mengalir walaupun disekat. Jika disekat di sebelah kiri, ke kananlah ia akan mengalir. Jika disekat di sebelah kanan, maka ke kirilah pula ia akan mengalir. Jika diletakkan kain berdekatan asap, maka seluruh kain tersebut akan berbau asap. Janganlah menjadi seperti bola yang dilempar ke dinding, akhirnya melantun dan mencederakan kita semula. Semakin kuat lontaran itu, semakin sakitlah diri sendiri. Penyakit utama yang dihadapi oleh mahasiswa masa kini ialah kegagalan mereka berasimilasi dengan dunia semasa sebagai pewaris kepimpinan dunia dan negara, mereka perlu memahami dan melibatkan diri dalam pembinaan negara samada secara terus atau melalui aktiviti kemasyarakatan.
Kita semua dilahirkan sebagai pemimpin sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya dari hal pimpinanmu.Seorang imam (pemerintah negara) adalah pemerintah dan akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya dan akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya, seorang isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya.Seorang khadam (pembantu) adalah pemimpin terhadap harta tuannya (majikannya) dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya". (Riwayat Bukhari)
Setiap kita adalah pemimpin, samada utuk agama, bangsa, negara mahupun untuk diri sendiri. Ayuh sahabat-sahabat, gerakkan kepimpinan dalam diri anda.
Selamat Berasimilasi..
0 comments Labels: kampus, mahasiswa
Nanny 911
Posted by Masnita Abdul Ghani Jul 3, 2010 at 3:17:00 AM
Nanny 911 merupakan suatu rancangan berbentuk “parental education”. Iaitu belajar dari kesalahan-kesalahan yang pernah dibuat untuk dijadikan pengajaran. Sangat menarik dan wajar dijadikan iktibar. Kadang kala ibubapa merasakan cara mereka mendidik anak adalah terbaik. Walhal, anak-anak mungkin menderita dari sudut emosi dan mencetus perbuatan yang boleh dikatakan memberontak. Mungkin ingin menarik perhatian ibubapa barangkali atau ingin menyatakan mereka tersiksa dari sudut emosi dan hasilnya tindakan dalam bentuk fizikal.
Hari pertama nanny berada di rumah keluarga tersebut, dia akan melihat segala tindak tanduk seisi keluarga selama sehari. Kemudian dia akan menyatakan permasalahan yang berlaku kepada ibu dan bapa. Pada hari kedua, nanny akan meletakkan peraturan yang wajar dipatuhi. Misalnya:
1. Jangan menggunakan tindakan fizikal (memukul, menyepak) untuk menunjukkan ketidakpuasan hati tetapi nyatakan.
2. Menghormati sesama sendiri
3. Setiap perbuatan ada kesannya (setiap kesalahan ada hukumannya dan bertangungjawab terhadap apa yang kita lakukan)
4. Setiap benda yang diingini tidak semestinya akan dipenuhi
Kali pertama menonton nanny 911, rasa amat teruja ingin melihat cara-cara pengasuh yang terlatih mengendali keluarga yang bermasalah atau anak yang tidak terurus itu. Aku yang melihat ni terasa macam nak tampar-tampar jer budak-budak tu. Betapa dia tak menghormati mak dan ayah mereka. Bila mereka tak puas hati, mak ayah akan di pukul atau di sepak. Tapi membalas kembali perbuatan anak-anak yang memberontak dengan cara yang sama bukanlah tindakan yang tepat. (Walaupun masa tengok tu rasa macam nak tampar, tarik telinga dengan nak ketuk jer kepala budak-budak tu.. hahahaa.. )
Bila dianalisa kembali, kebanyakkan kes-kes yang di kendali oleh nanny berpunca dari mak dan ayah tu sendiri. Antaranya:
1. Salah seorang akan bersifat terlalu mempertahankan anak-anak apabila pasangannya ingin memberi hukuman atas kesalahan mereka.
2. Tidak menyokong tindakan pasangan tetapi sebaliknya bertengkar di hadapan anak-anak.
3. Tidak meletakkan had dalam sesuatu perkara.
4. Kurang berinteraksi dengan anak-anak, maka mereka tidak memahami pemasalahan anak-anak.
5. Salah seorang pasangan bersifat tidak ambil peduli akan hal pengurusan anak.
Dalam rancangan itu, rata-ratanya usia anak dalam linkungan 2-13 tahun. Namun, perlakuan anak-anak amat agresif dalam menyatakan ketidakpuasan hati. Bagi kita yang beragama islam, sewajarnya anak-anak dididik mengikut acuan Islam. Aku masih mengingati suatu dialog bersama kak Asma’. Mendidik anak bukan bermakna bermula selepas kelahiran anak ke dunia tapi seharusnya bermula dari sekarang. Biasakan yang betul dan Betulkan yang biasa. Mulakan pentarbiyahan dari sekarang. Tarbiyahkan diri kita, tuntutlah ilmu supaya kita menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak.
Kesimpulannya, mendidik anak adalah suatu seni yang mengajar erti kesabaran. Anak kadang-kadang gagal mengikut kata-kata ibubapa tetapi anak tak pernah gagal meniru perbuatan ibubapanya.. (Cewahhh, macam dah ada anak kan?? Haha.. Insyaallah, becoming).
At-Tabrani ada meriwayatkan satu hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
”Didiklah anak-anakmu dalam tiga perkara: Mencintai nabimu, mencintai keluarganya dan membaca Al-Quran. Maka sesungguhnya orang-orang yang membawa Al-Quran berada dalam naungan Arasy Allah ketika tidak ada naungan kecuali naunganNya, bersama para Nabi dan orang-orang suci.”
0 comments Labels: program
Subscribe to:
Posts (Atom)