Solat:Penghayatan Sebagai Da'ie



Sabda Rasulullah saw:

الصُّلَاةُ عِمَادُ الدِّين ، مَن أَقاَمَهَا فَقَدْ أَقَامَ الدِّين ، وَمَن هَدَمَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّين


maksudnya:
"Solat itu tiang agama, Sesiapa yang menegakkannya bererti dia menegakkan agama, sesiapa yang meninggalkannya bererti dia meruntuhkan Agama".



Usrah bersama mas'ul minggu lalu banyak menekankan mengenai solat. Yakinkah kita dengan kesempurnaan solat kita? Bagaimana yang di katakan ciri-ciri solat yang sempurna? Sepatutnya solat yang sempurna mampu membentuk peribadi kita dan menjaga akhlak kita dari berterusan melakukan perbuatan yang mungkar. Firman Allah swt:


اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


maksudnya:


"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Ankabut: 45)


Sekiranya solat kita berkualiti maka dengan sendirinya diri kita akan terhindar dari perbuatan keji dan mungkar. Namun, jika kita berterusan tenggelam dalam lautan maksiat maka koreksi semula solat kita. Sepertimana satu sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Solat adalah perbuatan mula dihisab bagi seorang hamba. Apabila solatnya baik, maka baiklah semua perbuatanya dan apabila solatnya buruk, maka buruklah semua perbuatanya"



Dalam solat itu sendiri mempunyai elemen jika diteliti bukan hanya semata-mata sujud mengadap Allah.
Melalui kewajipan berjemaah dalam solat, umat Islam telah diajar sistem politik pemerintahan Islam. Dalam solat berjemaah, makmum diwajibkan mengikut imam serta menegurnya apabila terlupa atau tersalah. Dalam sebuah negara pula rakyat diwajibkan mentaati pemerintah tanpa boleh menderhakainya selagi tidak melanggar perintah Allah. Rakyat hendaklah menegur dan mengkritik secara membina terhadap pemerintah apabila terdapat penyelewengan atau kesilapan di dalam pemerintahannya. Pemerintah pula wajib menerima teguran dengan bijaksana daripada rakyat. Ibadah solat juga melatih kehidupan yang berdisiplin dan mengikut peraturan melalui penjagaan waktu solat, berbaris dalam saf dan kewajipan mengikut imam.

Matlamat hikmah solat tersebut tidak akan terhasil sekiranya seseorang yang mengerjakan solat itu tidak memahami dan tidak berusaha berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan dan menerapkan elemen hikmah ini dalam kehidupan. Akibatnya jadilah solat sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud,

"Betapa ramai orang yang mendirikan solat (tetapi) habuan dari solatnya hanyalah penat lelah dan letih lesu jua" (Hadith riwayat an-Nasai).



0 comments: